Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi
hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.
Berdasarkan konsep rezeki, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk
memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan
dunia dan akhirat.
Di antaranya:
1. Menyempatkan diri beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri
hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk
menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika
tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak
menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu
Hurairah r.a.)
2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa
seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan
pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba.
Sabda Nabi s.a.w.:
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah
s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala
masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat
Ahmad,Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas
r.a.)
3.Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih
buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda
Nabi s.a.w.:
“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya
rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)
4.Sentiasa ingat Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan
kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman.
Firman-Nya:
“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka
menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati
Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)
5.Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah
s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya,
hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda
s.a.w. juga bersabda:
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka
kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu
Ya’ala, at-Tabrani,al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab
mengalirnya rezeki,
berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada
kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat
al-Hakim dan ad-Dailami)
6.Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini
termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan
fakir miskin,juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi
rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
7.Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah
lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi
s.a.w.:
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka
Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)
8.Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika
hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan
kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan
terlaksananya semua hajat.
9.Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata:
“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya
kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang
lain.Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati,
melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
10.Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi
(memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah
amalan yang berkat.
11.Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda:
“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan
dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat
Bukhari)
12.Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan
meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh
Allah . Baginda s.a.w. bersabda:
“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari
hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina
Khalid al-Walid)
13.Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi
sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki
hamba itu tergantung di Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada
setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada
orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan,
nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)
14.Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud
memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan
dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah
15.Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang
sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia
tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau
malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti
pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan
Thabrani)
16.Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan
nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:
“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur,
nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur,
sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: “… dan Kami
akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)
17.Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran
tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul
husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi
fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham
agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki. Misalnya, dua ayat
terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali
setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan
kehidupan dan murahkan rezeki. Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha
Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika
diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang,
diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu
rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya `Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa
amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, diatidak akan ditimpa
kepapaan.
18.Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan
Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya.
Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan
perkenankan.
19.Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini
sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada
orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya
Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi
Syaibah dan al-Hakim)
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari
sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas.
Misalnya,hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya
sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang
baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik,
hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20.Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan
rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:
“Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya
Allah mencukupkan(keperluannya) .” (At-Thalaq: 3)
Nabi s.a.w. bersabda: “Seandainya kamu
bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi
rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah
kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari
Umar bin al-Khattabr.a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah
amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan
keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari
jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)
Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah
rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan
takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah
limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.
1 comment:
Syukran atas perkongsian yg bermanfaat ^_^
Post a Comment