Setiap anak wajib berbakti dan mentaati ibu bapa
bertujuan membahagiakan kehidupan mereka menjalani hari usia emas dan hari
kemudian. Ajaran Islam meletakkan ibu bapa pada kedudukan yang mulia.
Banyak bakti yang boleh dilakukan kepada ibu bapa. Bakti itu dalam bentuk material dan
hubungan kasih sayang. Ini bersesuaian dengan fizikal ibu bapa yang semakin
uzur dan memerlukan lebih perhatian.
Terdapat sekurang-kurangnya
10 bakti perlu dilakukan setiap anak terhadap ibu bapa.
1.Memberi nafkah.
Terdapat ibu bapa yang berdepan dengan masalah kewangan. Mereka tidak dapat
lagi melakukan tugas seharian disebabkan faktor usia. Kalaupun berkerja, tetapi
tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat.
Justeru menjadi
tanggungjawab anak memberi nafkah atau bantuan kewangan kepada ibu bapa.
Sumbangan itu tidak seberapa berbanding yang dibelanjakan ibu bapa untuk
membesar dan mendidik anak.
2.Menyediakan
tempat tinggal. Dalam kes ibu bapa yang hilang tempat tinggal, atau tidak
sesuai untuk didiami, adalah menjadi tanggungjawab anak menyediakan tempat
tinggal yang lebih sesuai kepada ibu bapa.
Paling baik jika ibu
bapa dibawa tinggal bersama agar dapat menjamin keselamatan dan keperluan
harian mereka diuruskan dengan baik.
3.Memberi kasih
sayang. Kasih sayang adalah sebagai membalas kasih sayang yang selama ini
telah dicurahkan ibu bapa. Kasih sayang ibu dan bapa tidak pernah padam
terhadap anaknya. Jadi seharusnya kasih sayang itu dibalas dengan
sebaik-baiknya.
Anak yang baik tidak
melupai jasa dan kasih sayang kedua ibu bapa. Anak soleh sentiasa memohon
kepada Allah agar ibu bapa mereka diberkati dan dicucuri rahmat.
Firman Allah bermaksud: ?Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat
kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan
mendidikku ketika kecil.? (Surah al-Isra, ayat 24).
4.Memberi perhatian. Ibu bapa yang diabaikan akan
merasai kesunyian. Mereka terasa disisih dan dan seperti tidak diperdulikan.
Hal ini memberi tekanan perasaan dan menyebabkan kemurungan. Keadaan ini jika
berterusan memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental ibu bapa.
Penerapan amalan memberi perhatian terhadap ibu bapa
perlu disemai, dibajai serta disuburkan dalam kehidupan masyarakat kita. Kes
anak yang membuang ibu bapa semakin meningkat. Anak memandang jijik terhadap
ibu bapa sendiri.
Banyak ibu bapa yang disisihkan dan dihantar ke rumah
rumah penjagaan orang-orang tua. Sukar diterima akal anak mendakwa tidak mampu
menjaga ibu bapa. Sedangkan, ibu bapa mampu menjaga dan membesarkan beberapa
orang anak.
5.Memenuhi permintaan. Ibu bapa seringkali
memerlukan bantuan anak untuk melaksanakan sesuatu keperluan. Permintaan itu
mungkin dalam bentuk kewangan, tenaga dan masa.
Memenuhi permintaan ibu bapa perlu diutamakan berbanding
melakukan tugas lain. Sesungguhnya, memenuhi permintaan ibu bapa lebih baik
berbanding melakukan ibadat sembahyang sunat, berpuasa sunat, dan seumpamanya.
Malah keutamaan berbakti kepada ibu bapa lebih utama
berjihad di medan perang. Diriwaytkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu Umar
berkata: Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad: Apakah perbuatan disukai
oleh Allah?
Lalu baginda
bersabda: Sembahyang pada waktunya. Kemudian apa? tanya saya
lagi. Baginda menjawab: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Saya bertanya: Apa
lagi. Jawab baginda: Berjihad pada jalan Allah.
6.Melakukan apa yang disukai. Ibu bapa sudah tentu
mengharapkan anaknya melakukan sesuatu yang baik pada pandangan mereka.
Melakukan perkara yang tidak sukai ibu bapa bermakna melakukan perbuatan
derhaka.
Anak derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat keberkatan
dalam kehidupannya. Sesiapa derhaka kepada ibu bapa disegerakan balasan di
dunia dan tidak terlepas di akhirat.
Sabda Rasulullah bermaksud: Dua kejahatan yang
disegerakan balasan di dunia ialah zina dan menderhaka kepada dua ibu
bapa.(Hadis riwayat Tirmizi).
Dalam hadis lain diriwayatkan al-Hakam bermaksud: Semua
dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya hingga ke hari
kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Maka sesungguhnya
Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati.
7.Bercakap dengan lemah lembut. Satu cara menjaga
perasaan ibu bapa ialah bercakap lemah lembut dengan mereka. Suara hendaklah
direndahkan dan jangan membantah permintaan mereka.
Firman Allah bermaksud: Tuhanmu telah memerintahkan,
supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap
kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya
telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata cis! terhadap mereka dan
janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun
dan lemah lembut. (Surah al-Israk, ayat 23).
Sesungguhnya, anak ditegah membantah kata-kata ibu bapa
dengan suara tinggi atau bermaksud merendahkan kedudukan ibu bapa. Lebih baik
berdiam diri daripada berkata-kata yang mungkin menyinggung perasaan ibu bapa.
Kemudian jika ada kesempatan, gunakan cara yang lembut untuk menjelaskan
keadaan sebenar.
8.Menghadiahkan kejayaan. Ibu bapa sentiasa
mengharapkan kejayaan anak mereka. Anak hendaklah berusaha bersungguh-sungguh
untuk mencapai kejayaan agar dapat dikongsi kegembiraannya bersama-sama dengan
ibu bapa.
Jadi, jika memperoleh kejayaan dalam pelajaran, mendapat
pekerjaan, dinaikkan pangkat dan seumpamanya, seharusnya dimaklumkan kepada ibu
bapa. Ibu bapa dibawa bersama-sama dalam majlis untuk meraikan kejayaan itu.
9.Meluangkan masa bersama-sama. Anak yang tinggal
berasingan dengan ibu bapa perlu kerap meluangkan masa mengunjungi ibu bapa.
Ibu bapa berasa senang menerima kunjungan dan menatap wajah anaknya.
10.Mendoakan kebaikan untuk ibu bapa. Anak perlu
sentiasa mendoakan kebaikan untuk ibu bapanya. Amalan mendoakan kebaikan untuk
ibu bapa perlu diteruskan biarpun ibu bapa telah meninggal dunia.
Sabda Rasulullah
bermaksud: Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya,
melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat,
ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak yang soleh yang
sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya. (Hadis riwayat Muslim).
Kebaikan dilakukan
anak terhadap ibu bapa sebenarnya amat kecil Anak tidak mampu untuk membalas
jasa ibu bapa sepenuhnya biarpun dia berbakti sepanjang hayatnya.
Gunakan kesempatan yang ada untuk melakukan bakti
terhadap ibu bapa sebaik mungkin. Masa untuk anak berbakti kepada ibu bapa
sebenarnya semakin suntuk. Lambat laun ibu bapa akan meninggal dunia.
Bertindaklah sebelum terlambat, selagi ibu bapa atau salah seorangnya masih
hidup.
Sepemergian mereka
hanya doa dari anak-anak yang soleh dan solehah yang mengiringi mereka.
No comments:
Post a Comment