KEBAIKAN yang diperolehi adalah kurnia Allah manakala keburukan itu
berpunca
dari diri manusia itu sendiri.
Allah meluluskan apa yang dipilih oleh manusia dan menjadikan sesuatu
itu
mempunyai hikmah pengajaran tersendiri serta kebaikan yang banyak kepada
orang-orang yang beriman di samping ianya menjadi seksaan dunia dan
menerima
seksa di akhirat kepada orang-orang kafir.
Disebut dalam hadith yang bermaksud:
"Tidak dicucuk duri atau tergelincir jatuh seseorang itu melainkan ia
menghilangkan dosa kecil yang pernah dilakukannya. Bahkan apa yang
dimaaf
oleh Allah lebih banyak dari itu."
Disebut dalam hadith yang lain yang bermaksud:
"Demi Tuhan yang diriku berada dalam Tangan-Nya! Apa sahaja bencana
menimpa
orang beriman termasuk kesedihan, kesusahan, kesakitan sehingga duri
yang
menikam badannya sekalipun, Allah hapuskan dosa-dosa (kecil) yang
dilakukannya."
Ini bererti bencana yang menimpa orang-orang beriman memberi kelebihan
kepada mereka untuk mendapatkan pahala dari Allah bila bersabar
menghadapinya.
Oleh itu setiap bencana menimpa mereka perlu diiringi dengan ucapan
'Inna
lillah wa inna ilaihi raji'un' yang bermaksud; "Sesungguhnya kita semua
datang dari Allah dan kepada-Nyalah kita dikembalikan."
Kita menghadapi bencana itu dengan bersabar, berusaha untuk
mengatasinya dan
bertawakal kepada Allah SWT.
Berhubung dengan masalah usaha dan tawakal terdapat pandangan yang tidak
betul di dalam kitab Tasawuf yang mengatakan bahawa bertawakal itu
bererti
menyerahkan apa sahaja akan berlaku ke atas dirinya tanpa sebarang usaha
dibuat bagi mengatasi masalah yang berlaku seperti tidak berjumpa dengan
doktor bagi yang sakit dan seumpamanya.
Pendapat sedemikian bercanggah dengan amalan Nabi s.a.w. Jika ada yang
mempertikaikan perkara ini mereka perlu menjawab siapa lebih baik sama
ada
Nabi s.a.w. atau semua ulama'?
Tidak ada bandingannya antara Nabi s.a.w. dengan ulama' kerana Nabi
adalah
semulia-mulia makhluk yang diciptakan Allah di dunia ini.
Ketika sakit Nabi s.a.w. berusaha menyembuhkan penyakitnya sama ada
dengan
berubat atau membaca doa-doa dan ayat-ayat al-Quran sebagaimana
diriwayatkan
dalam hadith. Ketika berdepan dengan musuh Rasulullah s.a.w. menyediakan
baju rantai dan perisai.
Rasululllah s.a.w. memerintah sahabatnya menggali parit di sekeliling
Madinah, sebagai persediaan ketika menghadapi tentera Ahzab. Apa yang
dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. tidak bercanggah dengan amalan menyerah
diri kepada Allah SWT.
Ertinya Allah memerintah kita berikhtiar mengatasi masalah tetapi
bersabarlah setelah perkara yang tidak diingini masih berlaku. Manakala
sabar pula boleh menghilangkan dosa di samping pahala diberi oleh Allah
SWT.Allah berfirman yang bermaksud:
"Kami utuskan engkau (Wahai Muhammad s.a.w.) kepada seluruh umat manusia
sebagai seorang rasul (yang membawa rahmat)." (Surah an-Nisa': 79)
No comments:
Post a Comment