Koleksi Tazkirah & Muhasabah

16.7.11

Jangan Lalai Mengingati Allah


HUBUNGAN manusia dengan Pencipta-nya ialah hubungan yang sentiasa segar, baik
dalam dimensi fizikal iaitu hidup, mahupun tanpa zahir atau alam roh. Ia berbeza daripada hubungan manusia sesama manusia, atau dengan hasil usahanya yang bersifat sementara belaka. Hal ini terpapar dalam peringatan Allah kepada kita, yang bermaksud:
Wahai orang yang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda
kamu dan anak pinak kamu daripada mengingati Allah, dengan menjalankan perintah-Nya,
dan ingatlah, sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.
(Surah al-Munafiqun 63:9)

Hal yang sama turut disebut dalam Surah al-Taubah 9:24 yang bermaksud:
Katakanlah waha (Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan
saudara kamu dan isteri-isteri kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu
usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal
yang kamu sukai -- (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih
daripada Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya), kerana Allah tidak
akan memberi petunjuk kepada orang yang fasik'. Kedua-dua petikan tadi menunjukkan manusia boleh dilalaikan oleh kepentingan keluarganya dan lebih buruk lagi harta bendanya. Kedua-dua hal tadi membangkitkan sifat kekauman dan kebendaan (materialisme).

Apabila fikiran dilalaikan oleh masalah keluarga seperti pergaduhan, atau risau
memikirkan perangai anak, seseorang itu mungkin terlepas daripada mengingati Allah.
Cara utama mengingati Allah tentulah dengan bersolat fardu lima waktu, berdoa,
melakukan perkara-perkara yang sunnah, melakukan perbuatan yang disuruh Allah (beribadat
atau bekerja yang halal) dan menjauhi segala yang dilarang-Nya. Apa jua pekerjaan
baik, ia perlu dimulakan dengan membaca kalimah Basmallah sebagai tanda persaksian
akan kedudukan manusia sebagai hamba Allah.