Koleksi Tazkirah & Muhasabah

27.5.11

Aku Sepasang Kasut

See full size image
Namaku Nike, aku adalah dari bangsa trainer.
Jenis-jenis lain, juga yang selain daripadaku dijual
di merata kedai sukan. Aku telah dibeli semenjak
setahun yang lepas. Semenjak itu hidupku mula
berubah. Aku menjangkakan tentulah kebanyakan
daripada hayatku akan kuhabiskan di trek atau di
gimnasium. Tapi jangkaanku meleset. Tuanku lebih
kerap membawa aku ke masjid-masjid dan ke rumah
kawan-kawannya. Aku sempat mencuri-curi dengar
kegiatannya dalam kelompok tersebut. Itulah yag
dinamakan usrah rupanya. Apa yang ingin ku ceritakan
di sini mungkin berguna kepada kalian semua. Berikut
adalah pemerhatianku berkenan tuanku. Dia seorang
da`i, kekagumanku dengan usahanya telah menginsafkan
aku untuk mncoretkan warkah ini.

Dahulu, tuanku hanya berseorangan. Aku selalu ke
masjid bersamanya seorang. Di sana beliau
mengabiskan masa mendengar ceramah agama, tak cukup
dengan itu, habis kedai-kedai buku agama kami
kunjungi. Sememangnya dia seorang yang obsessed
dengan ilmu pengetahuan. Tafsir al-Qur'an memang
selalu dibacanya. Ini membanggakan aku, kerana dapat
berbakti kepada seorang yang cintakan ilmu.

Aktivitiku tidak terhad begitu sahaja, aku juga
sering dibawa ke kompleks sukan dan padang bola.
Yang peliknya aku mendapat ramai kenalan ketika
berada di padang, tetapi sering berseorangan ketika
dibawa ke masjid.

Dahulu, ini menjadi aktiviti kegemaranku, kerana
dengan ini aku mendapat ramai kawan. Mulanya aku
agak pelik dengan situasi ini, tetapi lama-kelamaan
ramai kenalanku turut serta setiap kali aku ke
masjid. Kini fahamlah aku, tuan aku menggunakan
padang bola dan kompleks sukan untuk berdakwah
rupanya. Masya Allah! Tak sangka juga, dengan
aktiviti sukan tuan aku sempat juga mengajak
rakan-rakan ke masjid. Sekarang aku tidak bersendiri
lagi. Hampir setiap malam tuan aku akan berkunjung
ke rumah rakan-rakannya. Di sini aku mengambil
peluang untuk bersama dengan rakan-rakanku untuk
bertukar pengalaman. Rakan-rakanku amat mengagumi
tuanku. Aku tumpang berbangga.

Usrah berjalan hampir setiap malam. Sememangnya tuan
aku tidak kenal erti rehat. Baginya tempat rehat
adalah Syurga dan masa untuk tidur adalah di alam
kubur. Semua kasut akan senyap setiap kali tuan aku
mula berbicara. Kaata-katanya penuh hikmah, setiap
isi disokong dengan hadis dan ayat al-Qur'an. Tuan
aku tidak banyak bercakap apatah lagi perkara yang
sia-sia. Aku dapati rakan-rakan tuanku turut kagum
dengan kebolehannya.

Apabila bersama rakan, tidak pernah langsung beliau
mencerca rakan yang lain. Jika ada perkara yang
hendak ditegurnya akan dilakukan dengan hikmah. Aku
lebih banyak mendengar beliau memuji orang
berbanding mencerca kesalahan orang.

Kini aku masih berbakti lagi. Aku tahu kalian tentu
menganggap tulisanku ini gila dan tidak masuk akal.
Akan tetapi renungkanlah kata-kataku ini. Aku
mungkin kasut, tetapi suatu hari nanti mungkin Tuhan
akan memberikanku mulut untuk berkata-kata, untuk
bersaksikan apa yang tuan aku telah kerjakan. Pada
saat itu akan aku saksikan pada Tuhan apa yang aku
nukilkan pada kalian.

Untuk kalian semua contohilah tuanku. Berdakwahlah
dengan cara hikmah. Jangan sekali-kali lari dari
masyarakat. Terkadang masyarakat di sekeliling
kalian suka bersukan, atau mungkin sukakan hiburan.
Ikutlah rentak mereka sebagaimana aku menari
mengikut irama tuanku. Dalam berkata-kata hendaklah
kalian berhati-hati, jauhilah cerca dan maki,
lebihkanlah ukhuwwah dan pujian. Sesungguhnya mad`u
suka dipuji. Namun puji biarlah ikhlas.

Apabila berbicara gunakanlah al-Qur'an dan al-Hadis.
Jangan kalian ikut sesedap mulut, kelak menikam
kalian dari belakang. Tambahkanlah ilmu kalian, maka
orang akan mendengar cakap kalian. Bukankah Tuhan
menjanjikan darjat yang tinggi untuk orang yang
berilmu? Jadilah da`i yang serba boleh. Jangan
kalian sekatkan skop dakwah kalian, setakat mengajak
ke surau dan masjid. Ingatlah, bersukan, muzik,
berjalan, itu semua adalah dakwah bagi kalian.
Setapak kalian berjalan, mungkin bisa mencampak
hidayah ke dalam diri teman kalian.

Oh! Aku memang tidak layak untuk menasihat kalian.
Apatah lagi aku hanya sepasang kasut. Kalian tidak
perlu memaafkanku kerana aku hanyalah kasut. Tetapi
maafkanlah tulisan aku kira aku cuba mengajar
kalian, makhluk yang terbaik di sisi Allah. Sebelum
lidah kasutku ini bergetar deras, cukuplah dulu
nukilan dariku, sepasang kasut seorang da`i.


1 comment:

Liyana Zahim said...

Ni krgn mse amik UPSR lu.. Hikss~