Koleksi Tazkirah & Muhasabah

16.7.12

Sifat Mulia Yang ada Pada Seekor Anjing


Quote: Hassan Al-Basri r.a mengatakan bahawa pada anjing ada sifat mulia yang perlu diteladani oleh setiap orang mukmin.

Pertama :
Anjing itu sentiasa lapar,dia jarang makan sampai kenyang. Sifat ini adalah sifat orang-orang soleh.

Kedua :
Anjing tidak mempunyai tempat yang tetap.Dia selalu berpindah randah mengikut keperluannya.
Sifat ini adalah sifat orang-orang yang bertawakkal kepada Allah.

Ketiga :
Anjing tidak tidur pada waktu malam,melainkan sedikit sahaja.Dia selalu berjaga-jaga.
Sifat ini sama seperti sifat orang-orang yang cintakan Allah, sentiasa renggang punggungnya dari tempat tidur kerana bermunajat kepada Allah.

Keempat :
Jika anjing mati,dia tiada barang yang diwariskan dan tidak ada pula yang mewaris.
Sifat ini adalah sifat hamba-hamba Allah yang zuhud.

Kelima :
Anjing tidak suka meninggalkan tuannya, tidak merajuk atau melarikan dirinya daripada tuannya sekalipun dipukul dan dimarah.
Sifat inilah tanda-tanda yang dimiliki oleh para murid yang siddiqin yang sedang belajar dengan Gurunya.Tidak marah dan tidak merajuk walaupun dia diuji dengan berbagai-bagai ujian.

Keenam :
Dia lebih redha dan lebih suka bertempat di tanah,tidur di tanah atau tempat-tempat yang lebih rendah daripada tempat manusia.
Ini adalah tanda-tanda orang yang tawadu’, orang-orang yang suka merendah diri dan tidak menyombong.

Ketujuh :
Jika tempatnya diambil alih oleh orang lain atau ditempati oleh benda lain, dia pindah ke tempat lain tanpa merasa marah atau berdendam.
Inilah tanda-tanda hamba Allah yang redha akan bahagiannya.

Kelapan :
Jika ia dipukul,dihalau atau dibaling dengan benda-benda yang menyakitkan,dia menerimanya.Tidak ada perasaan dendam kesumat terhadap perkara-perkara yang lepas.
Inilah tanda-tanda hamba Allah yang kusyuk.

Kesembilan :
Jika anjing melihat orang makan,dia melihat saja dari jauh, tidak meminta-minta atau menganggu.Jika diberi makan atau tidak diberi,dia diam sahaja.
Inilah sifat orang miskin yang redha akan pemberian Allah s.w.t.

Kesepuluh :
Jika dia berjalan atau pergi dari tempat asalnya, tidak menoleh-noleh ke belakang.
Inilah tanda-tanda orang yang susah.



Setiap ciptaan Allah itu ada kebaikannya.

No comments: