Bulan Syaaban mempunyai keistimewaan tersendiri di dalam Islam, samalah juga dengan bulan-bulan yang lain yang juga mempunyai kelebihan, sehingga menyebabkan kehadirannya sentiasa ditunggu-tunggu oleh mereka yang suka beribadat sebagai salah satu jalan untuk mencari dan mendapat keredaan Allah SWT. Bulan Syaaban adalah antara bulan yang paling dicintai oleh Rasulullah SAW. Baginda akan lebih banyak berpuasa di bulan ini. Baginda paling banyak berpuasa sunat pada bulan Syaaban. Perkara yang dilakukan oleh Rasulullah SAW patut dicontohi kerana selain memperbanyakkan amal kebajikan di bulan ini, ia juga merupakan latihan rohani ke arah mempersiapkan diri menyambut kedatangan bulan Ramadhan.
Keistimewaan bulan ini ialah seluruh amalan manusia selama setahun diangkat untuk dihadapkan kepada Allah SWT, sewajarnyalah sepanjang bulan ini diisikan dengan amal ibadah dan kebajikan. Antara amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:
1. Memperbanyak puasa sunat.
Nabi SAW lebih gemar berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain.
2. Bertaubat dan beristighfar.
Bertaubat dan beristighfar boleh mensucikan jiwa dari dosa, kerana sebagai manusia kita sudah pasti tidak akan terlepas dari melakukan dosa. Walau bagaimanapun sebenar-benar taubat itu ialah taubat nasuha.
3. Memperbanyak zikir dan berdoa.
Zikir ialah ucapan yang dilakukan dengan lidah atau mengingati Allah dengan hati, dengan ucapan atau ingatan yang membesar dan mengagungkan Allah.
Selain daripada itu banyak lagi amal kebajikan yang boleh dilaksanakan di bulan Syaaban ini sebagai persiapan menyambut kedatangan Ramadhan seperti memperbanyakkan selawat atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, bersembahyang sunat terutama di waktu malam, banyak bersedekah dan sebagainya. Maka rebutlah peluang dan kelebihan yang ada di bulan Syaaban ini untuk mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita.
Rasulullah SAW pernah ditanya mengapa Baginda melebihkan berpuasa sunat di bulan Syaaban berbanding bulan-bulan yang lain. Baginda bersabda "Bulan itu (Syaaban) yang berada di antara Rejab dan Ramadhan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia adalah bulan yang diangkat padanya amal ibadah kepada Tuhan Seru Sekalian Alam, maka aku suka supaya amal ibadah ku di angkat ketika aku berpuasa". (An-Nasaie)
NISFU SYAABAN
Kelebihan malam Nisfu Syaaban itu telah disebutkan di dalam hadis sahih daripada Mu'az bin Jabal RA yang Rasulullah SAW bersabda "Allah menjenguk datang kepada semua makhluk-Nya di malam Nisfu Syaaban, maka diampunkan dosa sekalian makhluk-Nya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan". (Ibnu Majah, At-Thabaroni dan Ibnu Hibban)
Pada malam Nisfu Syaaban adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa. Menyedut pendapat Imam Asy-Syafi'e dalam kitabnya Al-Umm telah dikata: Telah sampai pada kami bahawa dikatakan sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya Aidilfitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban. Kita boleh hidupkan malam Nisfu Syaaban dengan memperbanyakkan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa, berzikir dan membaca Al-Quran.
Kesimpulannya amalan yang berterusan ini akan membuatkan kita lebih bersedia untuk beramal serta menyambut kedatangan Ramadhan dengan hati yang bersih dan jiwa suci, natijahnya mengundang ke arah kecemerlangan hidup. Sabda Nabi SAW "Lakukanlah amalan setakat yang kamu terdaya. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu semua jemu". (Bukhari)
Sembahyang yang paling disukai Nabi SAW adalah apa jua sembahyang yang dilakukan secara berterusan walaupun sedikit.
No comments:
Post a Comment