Apakah dia istidraj itu ?
Ianya adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu
tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan istidraj.
Rasullulah s. a. w. bersabda :"Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala
memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat
(durhaka),ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah
SWT."(Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)
Tetapi, manusia yang durhaka dan sering berbuat maksiat yang terkeliru
dengan pemikirannya merasakan bahawa nikmat yang telah datang kepadanya adalah
kerana Allah berserta dan kasih dengan perbuatan maksiat mereka. Masih ada juga
orang ragu-ragu, kerana kalau kita hendak dapat kebahagian di dunia dan akhirat
kita mesti ikut jejak langkah Rasullulah saw dan berpegang teguh pada agama
Islam.
Tetapi bagaimana dengan ada orang yang sembahyang 5 waktu sehari semalam,
bangun tengah malam bertahajjud, puasa bukan di bulan Ramadhan
sahaja, bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat yang lain. Tapi, hidup mereka
biasa sahaja. Ada
yang susah juga. Kenapa? Dan bagaimana pula orang yang seumur hidup tak
sembahyang, puasa pun tak pernah, rumahnya tersergam indah, kereta mewah
menjalar, duit banyak, dia boleh hidup kaya dan mewah. Bila kita tanya, apa
kamu tak takut mati? Katanya, alah, orang lain pun mati juga, kalau masuk
neraka, ramai-ramai. Tak kisahlah! Sombongnya mereka, takburnya mereka.
Rasullulah s. a. w. naik ke langit bertemu Allah pun tak sombong, Nabi
Sulaiman, sebesar-besar pangkatnya sehinggakan semua makhluk di muka bumi
tunduk di bawah perintahnya pun tak sombong! Secantik-cantik Nabi Yusof dan
semerdu suara Nabi Daud, mereka tak sombong. Bila sampai masa dan ketikanya,
mereka tunduk dan sujud menyembah Allah.
Manusia istidraj - Manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia
merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal.
"Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku
ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadat pun, rezeki datang
mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku, katanya
sombong." Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak
dengan tujuan untuk menghancurkannya.
Rasullulah s. a. w bersabda: "Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan
semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya" (Kitab
Nasaibul'Ibad)
Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di bawah batu
atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak membinasakannya,
Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah bersayap, anai-anai pun menjadi
kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat(sayap), dia akan cuba melawan
api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah swt.
Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak
pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tapi
Firaun tidak, orang lain mati, namun dia masih belum mati-mati juga, sampai
rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat
itulah Allah binasakan dia.
Namrud, yang cuba
membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan
Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan
seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya.
Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja kena
dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya
sekali akibat terlalu takbur. Jadi kalau kita kaya, jangan sangka Allah sayang,
Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga.
Jadi, jika kita kaji dan fikir betul-betul, maka terjawablah segala keraguan
yang mengganggu fikiran kita. Mengapa orang kafir kaya, dan orang yang
berbuat maksiat hidup senang /mewah. Pemberian yang diberikan oleh Allah pada
mereka bukanlah yang diredhaiNya. Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk
menghancurkannya. Untuk apa hidup ini tanpa keredhaanNya?
Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah
kita katakan itu istidraj. Orang naik pangkat, istidraj. Orang-orang besar,
istidraj. Jangan! Orang yang mengunakan nikmatnya untuk kebajikan untuk
mengabdi kepada Allah bukan istidraj. Dan jangan pula kita tidak
mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan. Bukan kaya
yang kita cari, juga bukan miskin yang kita cari.
Tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah. Bagaimana cara untuk
menentukan nikmat yang diredhai Allah? Seseorang itu dapat menyedari hakikat
yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur
nikmatnya. Dia akan mengunakan pemberian ke jalan kebaikan dan sentiasa redha
dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah. Maka segala limpah kurnia yang
diperolehi itu adalah nikmat pemberian yang diredhai Allah. Bila tujuan hidup
kita untuk mencari keredhaan Allah, niscaya selamatlah kita di dunia dan
akhirat.
No comments:
Post a Comment