Koleksi Tazkirah & Muhasabah

6.4.11

Petua Menguatkan Otak


Petua orang tua-tua untuk kekal sihat dan langsing, mesti jadikan sarapan sebagai amalan. Lebih awal waktu sarapan, lebih baik. Orang dulu bercakap berdasarkan pengalaman dan berita baiknya, ia disokong kajian sains di seluruh dunia. Malah, pakar pemakanan juga sependapat; sarapan pagi adalah sumber pertama untuk memulakan hari kita, sebagaimana dituntut dalam Islam untuk bangun bersahur, walaupun ada yang boleh bertahan sehingga menjelang waktu berbuka.

Kajian terbaru menunjukkan, orang yang bersarapan secara tetap menikmati kehidupan berkualiti, tersusun, bersikap positif, lebih langsing dan memiliki daya tumpuan lebih baik. Pemilihan sarapan, terutama yang kaya karbohidrat, membekalkan tenaga, mampu menahan rasa lapar dan mengawal keinginan untuk makan di antara waktu sarapan dan makan tengah hari. Ramai orang meninggalkan sarapan dengan alasan tiada selera makan pada waktu pagi atau tidak sempat (kerana bangun lambat). Jika anda tergolong dalam kumpulan ini, ada baiknya anda terus membaca untuk mengetahui ‘rahsia’ di sebalik hidangan ringkas yang dipanggil sarapan. Ada saintis menggelar sarapan sebagai makanan untuk otak. Kajian menunjukkan sarapan ada kaitan rapat dengan kecergasan mental.

Secara ringkasnya, sarapan dikatakan memberikan kesan positif terhadap aktiviti otak - lebih cergas, peka dan fokus. Ini secara tidak langsung mendatangkan pengaruh positif terhadap diri individu itu untuk melaksanakan tugasnya, sama ada di sekolah atau tempat kerja; walaupun hanya mengambil sarapan seringan sekeping roti dan secawan kopi.

1 comment:

Mengharap RedhaMu said...

banyakkan makan makanan sunnah. Makan kismis...ia baik untuk minda. disamping makan juga madu asli. Insya'allah. :)