Koleksi Tazkirah & Muhasabah

21.10.12

Mengapa Doa Saya Tidak Makbul?


Kebiasaannya selepas solat kita akan mengangkat tangan dan berdoa kepada Allah SWT. Namun sebenarnya berdoa kepada Allah ini boleh dilakukan di mana-mana sahaja kita berada. Sama ada berdoa di dalam hati atau sebagainya.Berdoa bukanlah bermakna Allah tidak tahu apa yang kita hajatkan, namun ia menampakkan keabdian kita kepada Allah SWT. Persoalan di sini adalah mengapa doa seseorang itu tidak dimakbulkan Allah? Ikuti soal jawab di bawah ini.
 Soalan:
Saya seorang muslim yang mengamalkan ajaran Islam yang wajib dan sunat. Akan tetapi doa saya susah untuk dimakbulkan sehingga setiap hari keyakinan saya terhadap agama semakin menyusut kerana perkara ini. Tolonglah saya.
Nizariah, Kota Kinabalu, Sabah.
Jawapan:
Perkara pertama ialah mesti diperhatikan oleh setiap muslim ialah aqidah sementara hukum-hakam terletak di tangga kedua. Berdasarkan aqidah yang betul, seseorang itu akan mengetahui bahawa doa ialah permintaannya kepada Allah, maka terserahlah kepada Allah sama ada untuk memakbulkannya, menangguhkannya atau menggantikannya dengan sesuatu yang lain. Doa bukanlah satu kontrak sehingga setiap yang diminta mesti dimakbulkan oleh Allah.
Amatlah tidak layak untuk manusia berkeyakinan dia memiliki kontrak dengan Allah, padahal Allah ialah tuhan sementara dirinya ialah makhluk ciptaan Allah.
Justeru jangan bertanya kepada Allah tidak memakbulkan doa anda sebab: Dia (Allah) tidak boleh ditanya tentang apa yang Dia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak. [al-Anbiya’ 21:23] Selain itu, sikap bertanya dan putus asa itu sendiri merupakan salah satu sebab doa tidak dimakbulkan. Rasulullah bersabda: Pasti dikabulkan doa seseorang daripada kalian selagi mana dia tidak berputus asa lalu merungut: “Sungguh aku sering berdoa namun belum dikabulkan untukku.” [Shahih Muslim, 4916]
Maka dari saat ini fokuskan doa kepada mengenali Allah melalui aqidah yang betul. Seterusnya terjemahkan doa itu kepada usaha gigih mempelajari subjek aqidah.


Mudahnya berdakwah. Klik 'LIKE' untuk kongsi ilmu bermanfaat kepada rakan kita. "Sampaikan pesan walaupun 1 ayat"

No comments: