Koleksi Tazkirah & Muhasabah

17.12.10

Tanggungjawab Guru Ni Besar


Tanggungjawab Terhadap Allah

1. Seorang guru Muslim hendaklah sentiasa memantapkan keyakinan/keimanan kepada Allah di samping mengukuhkan hubungannya yang berterusan denganNya.
2. Sifat istiqamah, iltizam semangat berbakti dan beramal soleh hendaklah menjadi amalan harian.
3. Guru Muslim mustahak menghayati rasa khusyuk, takut dan harap kepada Allah.
4. Guru Muslim hendaklah prihatin untuk sentiasa mengagungkan syiar agama Islam dan berusaha ke arah mendaulatkan syariat Islam.
5. Guru Muslim mesti melaksanakan kewajiban agama, menghindari laranganNya dan menyempurnakan segala hak dan tanggungjawab yang berkaitan dengannya.
6. Guru Muslim hendaklah bersyukur kepada Allah di samping selalu berdoa kepadaNya dengan membaca ayat-ayat Allah dan merendahkan diri ke hadratNya.



Tanggungjawab Terhadap Diri

1. Guru muslim hendaklah memastikan keselamatan diri sendiri, sama ada dari aspek fizikal, emosional, mental mahupun moral.
2. Prihatin terhadap kebersihan diri, pakaian, perawakan dan tempat tinggal.
3. Memahami kekuatan dan kelemahan diri untuk boleh dimanfaatkan serta ditingkatkan dari segenap aspek.
4. Meningkatkan kesejahteraan diri agar dapat berkhidmat selama dan sebanyak mungkin kepada Allah, masyarakat dan negara.
5. Melibatkan diri dengan program dan agenda yang boleh meningkatkan kualiti profesion sebagai seorang guru.

Tanggungjawab Terhadap Ilmu

Guru muslim hendaklah :
1. Memastikan penguasaan ilmu takhassus secara mantap dan mendalam.
2. Beriltizam dengan amanah ilmiah.
3. Prihatin untuk mengamalkan dan mengembangkan ilmu yang dipelajari.
4. Sentiasa mengikuti perkembangan teknologi terbaru dalam pengajaran ilmu yang berkaitan.
5. Dari semasa ke semasa guru Muslim hendaklah menelusuri sudut atau dimensi spirituality Islam dalam pelbagai lapangan ilmu pengetahuan.
6. Sentiasa memanfaatkan ilmu untuk tujuan kemanusiaan, kesejahteraan dan keamanan umat manusia sejagat.

Tanggungjawab terhadap Profesion

1. Seorang guru tidaklah harus bertingkah laku begitu rupa sehingga boleh mencemarkan sifat profesionnya dan yang mana menyebabkan kurang kepercayaan orang ramai terhadap profesion perguruan.
2. Dia tidaklah harus bertingkah laku begitu rupa yang boleh membawa kepada jatuhnya maruah diri dan kehilangan amanah berhubung dengan kewangan.
3. Dalam semua hubungan dan tugas seseorang guru hendaklah menjalankannya dengan jujur.
4. Tanggungjawab utama seseorang guru ialah terhadap pelajarnya. Kepentingan para pelajarnya haruslah mengatasi semua kepentingan lain seperti kepentingan masyarakat, persatuan atau persendirian.
5. Dia haruslah menumpukan perhatian dan pengajaran untuk semua pelajar tidak kira bangsa, agama atau kepercayaan.
6. Dia haruslah bertugas sebagai pengganti ibu bapa dalam usaha membentuk tingkah laku para pelajar ke arah matlamat-matlamat yang diterima oleh masyarakat.
7. Dia haruslah menumpukan perhatian terhadap keperluan setiap pelajarnya.
8. Dia haruslah mendidik dan mengambil tindakan secara adil terhadap semua pelajar tidak kira bangsa, warna, jantina, bahasa, agama, kepercayaan politik, tempat asal keluarga, intelek, akademik dan status-status lain.
9. Dia harus mengesan dan menerima perbezaan individu di kalangan pelajar dan memandu mereka memperkembangkan potensi mereka dari segi jasmani, intelek, daya cipta dan rohani.
10. Dia harus menghormati hak setiap pelajar supaya maklumat-maklumat sulit mengenai diri para pelajar tidak diberitahu kepada orang atau agensi lain yang tidak berkenaan.
11. Dia tidaklah harus bertingkah laku terhadap para pelajarnya begitu rupa yang boleh membawa jatuhnya darjat profesion perguruan.
12. Dia tidaklah harus mengajar sesuatu yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat awam atau negara.
13. Dia haruslah menanamkan sikap yang baik terhadap para pelajarnya supaya mereka dapat berkembang menjadi warga negara yang taat setia dan beragama.
14. Dia tidaklah harus menyatakan atau membuat sesuatu yang boleh mengurangkan keyakinan diri para pelajarnya dan ibubapanya.
15. Dia haruslah bertingkah laku begitu rupa supaya menjadi contoh yang baik terhadap pelajar.
16. Dia tidaklah harus menerima apa-apa bayaran daripada para pelajarnya untuk pelajaran atau pengajaran tambahan yang dijalankan semasa waktu sekolah atau cuti sekolah melainkan bayaran-bayaran yang disahkan.
17. Dia tidaklah harus mengiklankan dirinya untuk kerja-kerja tuisyen atau pengajaran persendirian.
18. Dia tidaklah harus memaksa kepercayaan keagamaan, politik persendirian terhadap para pelajarnya.
19. Dia tidaklah harus meminta atau menerima hadiah daripada ibu bapa para pelajar atau ahli-ahli masyarakat dalam menjalankan tugas-tugas profesionnya.
20. Dia tidaklah harus menjatuhkan nama baik guru-guru lain.
21. Untuk mendapatkan pekerjaan atau kenaikan pangkat dia haruslah menggunakan cara-cara yang sah sahaja (iaitu berdasarkan kecekapan).
22. Dia tidaklah harus mengiklankan dirinya dengan cara membesar-membesarkan namanya untuk mendapatkan sesuatu pangkat dalam profesion perguruan.

Tanggungjawab Terhadap Pelajar

1. Guru muslim hendaklah lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar dari hal-hal lain.
2. Bersikap adil terhadap setiap seorang tanpa mengira faktor-faktor jasmani, mental, emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan dan agama.
3. Menampilkan suatu cara pakaian, pertuturan dan tingkah laku yang dapat memberikan contoh yang baik kepada pelajar.
4. Membimbing atau mengajar seseorang pelajar dalam kelas sendiri atau dalam mata-mata pelajaran yang diajar dalam kelas tanpa sebarang bayaran.
5. Memelihara dan memperbaiki kecekapan ikhtisas melalui pengkajian, lawatan dan menghadiri kursus ikhtisas, persidangan, mesyuarat atau seminar supaya pengajaran mencapai mutu yang setinggi-tingginya.

Tanggungjawab Terhadap Rakan Sejawat

1. Guru muslim hendaklah mengelakkan diri daripada membuat sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan pelajar atau ibu bapa, atau berbuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang guru.
2. Tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan sebagai guru.
3. Berusaha dengan sepenuhnya menunaikan tanggungjawab dengan rajin dan bersungguh-sungguh dan mengekalkan kemajuan ikhtisas dan sosial.
4. Sentiasa bersedia membantu rakan sejawat terutamanya mereka yang baru dalam profesion perguruan.
5. Sentiasa mengawasi diri supaya tidak mencemarkan nama baik profesion perguruan.

Tanggungjawab Terhadap Masyarakat dan Negara

1. Mengelakkan diri daripada meyebarkan sesuatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat atau negara, ataupun yang boleh bertentangan dengan Rukunegara.
2. Memupuk dalam diri setiap pelajar sikap dan nilai yang boleh membantu dan membimbing mereka untuk menjadi warga negara yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna, menghormati orang-orang yang lebih tua dan menghormati adanya perbezaan kebudayaan, keturunan dan agama.
3. Menghormati masyarakat tempat mereka berkhidmat dan memenuhi segala tanggungjawab sebagai seorang warganegara dan sentiasa sanggup mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan masyarakat.
4. Menggalakkan kerjasama dan persefahaman di antara guru dengan ibu bapa, institusi pendidikan dengan masyarakat.
5. Memberi sumbangan cergas untuk meninggikan tahap kehidupan morality, kebudayaan dan kecendikiawanan masyarakat.
6. Berpegang kepada tingkah laku yang sopan yang diterima oleh masyarakat dan menjalani kehidupan harian dengan baik.

No comments: